Sistem Pengurusan Kualiti

Satu pensijilan bagi sistem pengurusan kualiti yang melibatkan 28 sijil kepada 1 sijil dan 4 buah PTJ yang belum mendapat persijilan dimasukkan bersama dalam skop bermula apabila Jawatankuasa Pengurusan Universiti  melantik Pendaftar sebagai Wakil Pengurusan pada tahun 2010. Pelaksanaan untuk mencapai satu persijilan MS ISO 9001 mula digerakkan mulai bulan Julai 2010 dan penguatkuasaan dokumen pada 3 Januari 2011. Skop pensijilan merangkumi semua proses utama Universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan profesional, dan perkhidmatan sokongan. 

Bagi melaksanakan dasar maka proses-proses melibatkan skop SPK di UPM telah didokumenkan dalam prosedur, garis panduan atau arahan kerja. Semua dokumen yang telah diwujudkan, dikawal dan diselenggara secara sistematik. Dokumen SPK boleh diakses menerusi Sistem Pengurusan ISO UPM (e-ISO) bagi tujuan dibaca atau dicetak untuk rujukan.

Keberkesanan pelaksanaan Sistem Pengurusan UPM dilihat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Kualiti sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa ISO (JKISO), pelaksanaan proses semakan pengurusan melalui Mesyuarat Kaji Semula Pengurusan (MKSP) dan audit dalaman.  Mesyuarat JKISO dilaksanakan sekurang-kurangnya 4 kali setahun, MKSP dan Audit Dalaman UPM pula dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun. 

Proses semakan pengurusan di UPM memberi tumpuan kepada aktiviti penambahbaikan berterusan yang dilapor dan dibincangkan dalam Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan setiap tahun. Penambahbaikan berterusan melihat kepada aktiviti peluang penambahbaikan yang akan dan sedang dilaksanakan di UPM.

Impak pelaksanaan melalui inisiatif Sistem Pengurusan Kualiti dapat dilihat melalui laporan yang dibincang dan dilaporkan dalam Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan UPM. Pencapaian standard/kualiti berhubung pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan sokongan di Universiti dapat dijamin dan menyokong universiti ke arah menduduki tangga ke-200 terbaik universiti-universiti dunia.