Serdang 3 Jun - Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan 15 inovasi baharu untuk dimanfaatkan pihak industri dalam bidang pertanian dan veterinar. Antara inovasi diperkenalkan seperti Formulasi Mikroemulsi Racun Serangga, Kotak Pemanas Solar, baja B-Green Bio, Perancah Tulang Nano komposit serta bahan tampalan nano komposit untuk pembaikan tulang. Semua hasil inovasi itu dipamerkan pada Hari Terbuka Inovasi (UPMIOD) bertemakan Agriculture-Innovation-Business yang diadakan di Fakulti Pertanian UPM pada 3 Jun 2015 yang lalu.
Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi, PSP, Dr. Mohd Fakri Zaky Jaafar berkata, UPMIOD bertujuan untuk mempromosikan teknologi UPM untuk dikomersilkan oleh pihak industri di samping untuk menggalakkan lagi perbincangan secara bersemuka antara penyelidik dan industri. “Mereka juga berpeluang mendapatkan pandangan daripada penyelidik UPM yang terbabit dalam bidang berkaitan. Kebanyakan daripada produk yang dipamerkan telah di patenkan dan terdapat beberapa teknologi yang telah bersedia untuk dihasilkan pada skala besar dan seterusnya dikomersilkan,” katanya.
“Ini adalah pameran mini dan kita mengadakan lima kali setahun untuk mempromosikan inovasi UPM berdasarkan tema yang berlainan,” katanya. Selain itu, Dr. Mohamad Fakri berkata, usaha pengkomersilan produk inovasi UPM yang dijalankan sejak 10 tahun lalu sehingga kini sudah berjaya melesenkan sebanyak 77 produk untuk kegunaan pelbagai industri dengan perolehan mencecah RM40 juta. Antara produk yang dikomersilkan oleh UPM sebelum ini adalah vaksin untuk industri penternakan ayam, baja selain produk teknologi maklumat (ICT). Penyelidik UPM menghasilkan beribu inovasi dan yang terpilih sahaja dipamerkan kepada penggiat industri.
Tarikh Input: | Kemaskini: 17/06/2019 | asrizam
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia