SERDANG, 29 0gos- Putra Science Park, UPM pamer tiga teknologi sempena 1st Research Officers National Symposium (ReONS) 2022 pada 29 Ogos 2022 bertempat di Mini Auditorium, Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM.
Prof. Dr. Mohd Adzir, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata simposium itu bertujuan untuk memperkasakan serta memberi inspirasi kepada pegawai penyelidik dari universiti penyelidikan di Malaysia sebagai saintis terkemuka di masa akan datang.
Pada pameran kali ini, UPM mempamerkan teknologi Soil Prop: Soil Properties Mapping System yang dibangunkan oleh Dr. Ezrin Mohd Husin dari Fakulti Kejuruteraan. Teknologi ini adalah sistem berasaskan aplikasi yang dapat menghasilkan peta kesuburan tanah secara masa nyata dan dapat dipaparkan terus pada skrin komputer yang dipasang pada jentera. Melalui sistem ini, petani dengan mudah dapat mengenalpasti tahap kesuburan tanah dan baja yang bersesuaian untuk pengurusan pertanian secara berkesan.
Selain itu, Dr. Nur Fadhilah Khairil Mokhtar dari Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM turut mempamerkan teknologi Porcine Rapid Amplification Kit. Kit pengesanan DNA Babi ini menggunakan tindak balas amplifikasi pada satu suhu oleh beberapa oligonukleotida. Hasil amplifikasi boleh dilihat melalui perubahan warna dan boleh dipantau dengan menggunakan mesin yang mengukur jumlah pendaflour yang terhasil. Menariknya, teknologi ini cuma memerlukan sekitar 1 jam untuk mengesan kehadiran DNA Babi menggunakan kit ini.
Di pameran ini juga, Putra Science Park turut berkesempatan mengadakan sesi Sidang Media Putra Cipta untuk mengetengahkan inovasi Pes Tiub Nano yang dihasilkan oleh minyak masak terpakai oleh Ts Dr Intan Helina dari Institut Nanosains dan Nanoteknologi, UPM.
Menurut Prof. Dr. Mohd Adzir, "ReONS merupakan salah satu usaha dan sokongan kolektif untuk mencapai objektif iaitu memperkasa dan memberi inspirasi kepada pegawai penyelidik untuk menjadi saintis terkenal," katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya (UM), Prof. Ir. Dr. Shaliza Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato. Dr. Wan Kamal Mujani; Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zainova Lockman; Pengarah Institute of Future Energy (IFE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Arshad Ahmad, dan Pengerusi ReONS Dr. Norfaryanti Kamarudin.
Tarikh Input: 01/09/2022 | Kemaskini: 23/09/2022 | aishah
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia