Profesor Dr. Zamberi Sekawi Dilantik TNCPI UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Profesor Dr. Zamberi Sekawi dilantik TNCPI UPM

Profesor Dr. Zamberi Sekawi dilantik TNCPI UPM

 

 

SERDANG, 23 Okt -  PSP mengalu-alukan kedatangan TNCPI yang baharu dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah mengumumkan pelantikan Profesor Dr. Zamberi Sekawi sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (TNCPI UPM), berkuat kuasa pada 23 Oktober 2023 sehingga 22 Oktober 2026.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Prof. Dr. Nazamid Saari yang telah menamatkan perkhidmatan sebagai TNCPI UPM dan bersara wajib pada 19 September lalu. Terima kasih yang tidak terhingga kepada YBhg Prof. Dr. Nazamid Saari di atas sumbang bakti menjayakan agenda penyelidikan dan inovasi UPM sepanjang menjawat jawatan sebagai TNCPI.

Profesor Dr. Zamberi yang merupakan pakar Mikrobiologi Klinikal akan menerajui pentadbiran TNCPI, menguruskan hal ehwal penyelidikan dan pengkomersilan hasil penyelidikan universiti.

Anak kelahiran Sarawak ini merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1991 telah terlibat secara aktif dalam Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah pelatih di UPM pada 1999 sebelum dilantik sebagai pensyarah Perubatan di UPM pada 2001 dan bergelar Profesor perubatan pada 2012.

Terdahulu, beliau pernah menggalas tugas sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM bermula 2018 hingga Mei 2023 dan berjaya menggerakkan organisasinya untuk menerima budaya penyelidikan serta meluaskan lagi peranannya membantu menangani isu dan cabaran kesihatan di peringkat nasional dan antarabangsa untuk manfaat pesakit dan masyarakat.

Melalui pengalaman 13 tahun sebagai Timbalan Dekan dalam pelbagai portfolio dan pengalaman lima tahun sebagai Dekan ini telah membawa FPSK UPM ke peringkat lebih tinggi malah fakulti turut menawarkan pelbagai program sarjana muda perubatan, pasca siswazah dan pakar klinikal sains kesihatan yang bertauliah dan berkualiti.

Profesor Dr. Zamberi memberi keutamaan untuk cemerlang dalam dunia penyelidikan dan telah berjaya menerbitkan 180 jurnal terindeks serta telah mengarang beberapa buah buku selain melahirkan ramai pelajar Sarjana Sains (MSc) dan Doktor falsafah (PhD).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau memperjuangkan isu kesihatan global seperti influenza, rintangan antimikrob dan leptospirosis sehingga dilantik sebagai pegawai perunding teknikal di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Kepulauan Solomon, Kemboja dan Papua New Guinea.

Pengalaman beliau yang luas dalam bidang penyelidikan dijangka mampu memperkasakan bidang penyelidikan dan inovasi UPM sekali gus mencapai Pelan Strategik UPM 2021-2025, matlamat 2 iaitu mewujudkan penyelidikan dan inovasi yang menjanakan nilai berteraskan ekosistem lestari.

Sumber PSPK UPM

Tarikh Input: 30/10/2023 | Kemaskini: 30/10/2023 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXFDDA7~