| PUTRA SCIENCE PARK

Langit Putra UPM Won Best Performance And 3rd Place At ICC UA Convention 2018

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kepercayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar dua kumpulan KIK untuk bertanding di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat universiti awam kali ke 14 ternyata mendatangkan hasil apabila kedua-dua kumpulan tersebut telah mendapat pengiktirafan emas dan dua anugerah lain.

 

Kumpulan Langit Putra, iaitu kumpulan gabungan PTJ daripada Putra Science Park (PSP) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) berjaya menarik minat panel juri sekaligus melayakkan kumpulan ini merangkul tempat ketiga dan Persembahan Tebaik bagi kategori teknikal menewaskan 15 kumpulan daripada universiti awam yang lain. Hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000, trofi dan sijil telah disampaikan oleh Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya.

 

Kumpulan ini telah mendapat bimbingan serta sokongan daripada Shahriman Hashim selaku fasilitator dan dianggotai oleh Asrizam Esam, selaku ketua kumpulan, Norliyana Kamaruddin, Hafliza Hussin, Mohd Mas’Ataillah Ismail, Muhammad Izzat Noradzmi, Norazlin Monir dan Mohammad Hisham Omar. Kumpulan Langit Putra mempertaruhkan inovasi SkytiderTM, iaitu alat yang dicipta untuk menggantung dan menurunkan bunting outdoor pada tiang lampu yang lebih selamat dan praktikal tanpa menggunakan tangga dan kren, turut mendapat pengikritafan apabila diumumkan sebagai pemenang bagi persembahan terbaik serta penarafan emas. Inovasi ini pernah mendapat tempat pertama bagi Anugerah Inovasi Perkhidmatan UPM tahun 2016 dan Anugerah KIK UPM tahun 2017.

 

“Kami mendapat idea untuk menghasilkan inovasi ini hasil daripada masalah yang sering dihadapi apabila terlibat dengan acara atau aktiviti yang memerlukan kami menggantung dan menurunkan bunting outdoor pada tiang-tiang lampu di sekitar UPM bagi tujuan promosi dan hebahan. Kerja-kerja ini dilakukan oleh staf jabatan sendiri memandangkan kos yang tinggi jika menggunakan perkhidmatan kontraktor luar. Alat yang dihasilkan juga adalah selamat dan dapat mengurangkan risiko kemalangan kepada staf”.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Prof. Dr. Mohd Amin Ismail berkata, pencapaian ini adalah seiring dengan sasaran UPM yang menyasarkan penarafan emas bagi kumpulan KIK yang bertanding di peringkat universiti awam dan sekaligus meningkatkan lagi kredibiliti UPM sebagai universiti yang berinovatif.

 

“Hasil bimbingan fasilitator UPM dan panel juri jemputan banyak membantu menambahbaik mutu persembahan kumpulan melalui komen dan nasihat yang membina. Ini secara langsung menyumbang kepada kemenangan ini. Selain itu, saya amat kagum dengan komitmen, usaha dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli kedua-dua kumpulan ini untuk memberikan hasil yang terbaik dan akhirnya kejayaan berpihak kepada mereka, katanya.”

 

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat universiti awam kali ke-14 adalah bersempena Expo on University Research Invention, Creation and Innovation (EUREKA) 2018 yang diadakan pada 14-16 Ogos 2018 di Universiti Malaya. Universiti Malaya sebagai tuan rumah acara ini telah menggunakan konsep baharu dalam penganjuran KIK di peringkat UA pada tahun ini dengan menggabungkan pembentangan dan pameran penyelidikan, inovasi, kreativiti dan pengalaman baru selaras dengan objektif utama penganjuran iaitu, untuk menggalakkan dan mencungkil cetusan idea baharu dalam rekabentuk dan inovasi.

SXDcXAd~