Tingkat Teknousahawan Dan Pengkomersilan Teknologi UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Tingkat Teknousahawan dan Pengkomersilan Teknologi UPM

Tingkat Teknousahawan dan Pengkomersilan Teknologi UPM

Artikel oleh: Aishah Hisamuddin

Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan bilangan teknousahawan dengan pendapatan berjuta-juta dan rekod kejayaan serta pengiktirafan anugerah dalam melahirkan 44 syarikat pemula yang pesat berkembang dengan lebih 83 inovasi sejak pertama kali melancarkan program InnoHub, Putra Science Park (PSP), UPM selaras dengan imej UPM sebagai universiti penyelidikan berprestij di Malaysia.

PSP sebagai pusat pemindahan teknologi UPM komited dalam memastikan inovasi yang dihasilkan memenuhi permintaan industri sekali gus memberi manfaat kepada negara dan mengukuhkan kedudukan UPM di peringkat global. 

Seruan untuk membangun dan memupuk teknologi berimpak tinggi dan usahawan di peringkat dunia mencetus kepada tertubuhnya penubuhan InnoHub, program syarikat permula yang menggariskan tonggak teknousahawan universiti.

Visi untuk menghubungkan teknologi dengan kemahiran usahawan menjadi fokus utama universiti dalam memastikan pelajar dan penyelidik UPM dibekalkan dengan infrastruktur canggih, dana, nasihat berkaitan harta intelek, latihan, sokongan pengkomersilan, pemindahan pengetahuan dan bimbingan menjadikan UPM sebagai hab pertama untuk melahirkan usahawan inovasi dalam pelbagai bidang.

Sehingga kini, kita telah menerima banyak lawatan delegasi daripada sektor kerajaan dan swasta merentasi pelbagai bidang dan kepakaran.

Teknousahawan UPM kini mencatatkan kejayaan yang membanggakan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan aktif dalam pertandingan di Jepun, Singapura, Timur Tengah, Eropah, dan Amerika. Hal ini menjadi kebanggaan kepada UPM untuk melihat syarikat pemula UPM bersaing dan berdiri setanding dengan syarikat pemula dari negara kelas pertama dan memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

"Teknologi UPM telah beralih secara agresif daripada produk inovasi biasa yang dihasilkan oleh universiti penyelidikan untuk meneroka dimensi perniagaan baharu yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran industri dan memberi pulangan yang menguntungkan kepada universiti," kata Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah (Promosi Inovasi dan Pengkomersilan) PSP.

Sejak pelancaran pertama InnoHub, banyak usahawan teknologi yang berjaya telah menjana pendapatan dan mampu bertahan lama di pasaran menghubungkan kepakaran penyelidikan universiti dan teknologi permintaan industri.

Sehingga kini, syarikat permulaan UPM, ZoepNano Sdn. Bhd. telah berjaya mengkomersilkan nanoselulosa yang diperbuat daripada biojisim kelapa sawit, yang pertama direkodkan di Malaysia. Ciptaan ini membuka pintu kepada produk tempatan untuk dikomersilkan di Jepun kerana ciri-ciri ekonomi dan ciptaan hijau yang ditawarkan. Ini merupakan satu tahap baharu penanda aras industri yang dicapai oleh UPM.

Lipidware Sdn. Bhd., sebuah lagi syarikat pemula telah berjaya mengkomersilkan produk kesihatan dan ubat-ubatan. Produk REMDII direka khusus untuk kulit sensitif atau ekzema dan kini boleh didapati di 500 klinik dan farmasi di Malaysia dan Singapura menjadikannya satu lagi kejayaan besar bagi UPM.

Bidang pertanian sentiasa menjadi kepakaran UPM. Ini telah mendorong kepada penghasilan produk Harvast, oleh Qarbotech Sdn. Bhd, salah satu syarikat permula di bawah InnoHub, UPM. Produk Harvast dapat mempercepatkan kadar fotosintesis untuk membantu petani menanam tanaman mereka dengan lebih sihat dan cepat ini berjaya menarik perhatian Glocalink Singapura untuk melabur sekali gus menembusi pasaran Jepun, Singapura, dan Asia Tenggara.

Era globalisasi menjadikan UPM bergerak seiring dengan pertumbuhan pasaran. Kejayaan InnoHub telah membawa kepada 100 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dan melonjakkan pengkomersilan UPM dalam pencapaian keseluruhan dengan lebih 213 IP telah dikomersilkan dengan hasil jualan bernilai RM 68.4 juta setahun. Senarai teknologi UPM sedia untuk dikomersilkan di www.sciencepark.upm.edu.my/industry-2263.

UPM telah dianugerahkan Anugerah Organisasi Terbaik dalam pengurusan harta intelek di Malaysia selama enam tahun berturut-turut dari 2008 hingga 2018 dan dianugerahkan  Most Influential Innovators di rantau ini oleh Clarivate 2021, menjadikannya entiti pengurusan pengkomersilan IP yang mantap.

"Pengiktirafan ini mendorong kami untuk lebih aktif lagi untuk berkerjasama dengan industri di peringkat antarabangsa atau tempatan dan giat mengkomersilkan teknologi baharu UPM dalam pelbagai bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak" kata Asrizam Esam, Ketua Promosi Inovasi dan Pemasaran, PSP UPM.

Untuk makluman lanjut, layari laman sesawang UPM www.sciencepark.upm.edu.my

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 26/09/2022 | Kemaskini: 26/09/2022 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEUQAe~