| PUTRA SCIENCE PARK

Chewable Moringa Fruity Tablets

Ringkasan Artikel

Serbuk daun Moringa Olifera mengandungi anti-oksidan, sebatian anti-radang, fenolik, flavonoid dan protein lengkap dengan amino asid penting untuk kesihatan.

Serbuk daun Moringa Olifera mengandungi anti-oksidan, sebatian anti-radang, fenolik,  flavonoid dan protein lengkap dengan amino asid penting untuk kesihatan. Daun segar yang mempunyai kandungan lembapan yang tinggi dan rasa pahit apabila dikeringkan menjadikan daun ini sangat mudah rosak dan sukar ditelan secara mentah atau secara terus. Chewable Moringa Fruity Tablets adalah formulasi unik daun Moringa Oleifera yang mudah dikunyah, berkhasiat, semula jadi, menjimatkan dan boleh dijadikan sebagai makanan tambahan untuk semua peringkat umur. Inovasi ini menggunakan serbuk buah sebagai pengikat semulajadi (natural binder). Tahap piawaian tablet yang dicipta telah dilakukan mengikut parameter yang ditetapkan oleh Food and Drug Administration of United State (FDA) dan International Pharmacopeia untuk tablet mudah terurai (disintegrating tablets). Inovasi ini dibangunkan untuk mempromosikan daun Moringa Oleifera sebagai suplemen multivitamin yang murah serta dapat memenuhi tahap multivitamin yang hilang dalam makanan untuk masyarakat kurang berkemampuan di seluruh dunia. Sekiranya seorang dewasa mengambil lima tablet setiap hari, tablet ini boleh memenuhi 100% RDA vitamin A (β-karoten) daripada sumber semulajadi yang asli.

 

Isu

Daun Moringa oleifera mengandungi nutrien yang tinggi dan anti-oksidan yang menjadikan daun ini dikenali sebagai makanan super. Moringa oleifera merupakan tumbuhan yang paling kaya dengan nutrien ditemui setakat ini. Ia juga kaya dengan gabungan nutrien, asid amino, antioksidan, anti radang yang jarang digunakan dalam pemakanan dan penyembuhan. Di Malaysia, daun dan buah Moringa telah digunakan dalam masakan kari dan hidangan tempatan. Tumbuhan ini sangat terkenal dalam bidang masakan di kalangan masyarakat india, dan kebanyakan rumah masyarakat india di Malaysia telah menanam pokok ini untuk kemudahan penggunaan dan kegunaan lain.

Sejak tahun 1998, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mempromosikan Moringa sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang diimport untuk merawat malnutrisi. Moringa telah digunakan dalam perubatan tradisional selama berabad-abad dalam pelbagai budaya di seluruh dunia untuk merawat pelbagai penyakit seperti jangkitan kulit, anemia, kegelisahan, asma, bronkitis, sesak dada, kolera, konjunktivitis, batuk, cirit-birit, jangkitan mata dan telinga, demam, kelenjar, bengkak, sakit kepala, tekanan darah tidak normal, histeria, sakit sendi, jerawat, psoriasis, gangguan pernafasan, skurvi, sakit tekak, terkehel, tuberkulosis, cacing usus, laktasi, kencing manis dan kehamilan.

Meskipun begitu, disebabkan rasa daun ini sangat pahit, ia tidak mungkin dimakan dalam bentuk mentah. Oleh itu, inovasi ini dapat menyelesaikan masalah dengan menukarkan serbuk daun Moringa menjadi tablet yang boleh kunyah. Serbuk buah digunakan sebagai agen pelindung rasa untuk menangani rasa pahit daun Moringa. Proses pembuatan tablet menggunakan kaedah pemampatan langsung telah digunakan bagi membentuk tablet.

 

Kelebihan

  1. Tablet yang diformulasikan dengan daun Moringa asli bersama-sama dengan bahan semulajadi yang lain ini boleh dikunyah dan murah. Suplemen multivitamin yang sedia ada dipasaran adalah mahal dan disediakan bersama bahan sintetik dan perlu melalui banyak operasi unit dan rawatan haba.
  2. Formulasi disediakan dengan kaedah pembuatan mudah (mampatan langsung) dan anggaran kos tablet bagi skala makmal adalah rendah (RM 0.10 / tablet) berbanding dengan multivitamin dan suplemen yang sedia ada di pasaran.
  3. Merupakan multivitamin Orally Disintegrating Tablet (ODT) berasaskan herba yang mempunyai tablet dengan kekerasan yang optimum, cepat hancur tanpa air, hanya dalam masa kira-kira 60 saat dan “friability” kurang daripada 1%.
  4. Serbuk daun Moringa tulen mempunyai rasa yang sangat pahit dan sukar ditelan. Formulasi Moringa ODT menyembunyikan rasa pahit daun Moringa dan menjadikannya enak dan sedap apabila dimakan.
  5. Pengguna terutamanya kanak-kanak yang mempunyai kesukaran untuk menelan tablet, boleh menelan Chewable Moringa Fruity Tablet secara terus dengan mudah disebabkan rasa tablet yang seperti gula-gula yang terhasil daripada superdisintegrant semula jadi (serbuk buah), rasa vanila dan kesan penyejukan manitol.
  6. Teknologi yang biasa menggunakan sintetik superdisintegrant untuk mempercepatkan proses larutan. Dalam penghasilan tablet ini, serbuk buah asli telah digunakan sebagai superdisintegrant yang juga bertindak sebagai agen bernutrisi dan perasa semulajadi.
  7. Formulasi ODT yang ideal dan cepat hancur dalam mulut, kandungan yang mudah terurai, rasa yang menyenangkan dan menyejukkan mulut (tidak ada kekelatan), dan penguraian lengkap berlaku dalam saluran pencernaan (gastrointestinal/usus).
  8. Bagi skala industri/komersil, tablet ini mempunyai kekerasan tablet yang mencukupi sesuai untuk tujuan pembungkusan dalam botol High Density Polyethylene (HDPE) dan bungkusan blister untuk penyimpanan, pengangkutan dan pengedaran.
  9. Tidak toksik: Dos maksimum diuji pada arnab untuk menganalisis kesannya ke atas kadar pertumbuhan, hemoglobin dan toksik dalam badan. Tiada kesan toksik dikesan semasa ujian histopatologi pada sampel hati dan ginjal arnab yang dirawat dengan tahap maksimum dos (250 mg/kg berat badan/hari).
  10. Pra analisis dan pasca mampatan menunjukkan bahawa tablet ini mudah untuk dikendalikan, disimpan (≤33% R.H dan 40°C), pembungkusan, pengangkutan, penyediaan mudah disediakan dan sesuai untuk semua jenis pengguna.

 

Prof. Madya Ir. Dr. Yus Aniza Yusof

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia,

SXDdUA5~